Atasi Isu Kesimbangan Pendidikan Awal Bandar, Luar Bandar
PETALING JAYA: Isu ketidakseimbangan akses pendidikan awal antara bandar dan luar bandar perlu ditangani agar dasar membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki tahun satu secara sukarela dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan menyeluruh.
Pensyarah Kanan Pendidikan Awal Kanak-kanak, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Juppri Bacotang berkata, realiti di Sabah menunjukkan masih terdapat kanak-kanak yang tidak dapat mengikuti prasekolah secara formal.
Keadaan ini katanya, sekali gus berisiko menyebabkan kanak-kanak itu tercicir sekiranya kemasukan awal ke tahun satu tidak disokong pendekatan bersesuaian.
“Kemasukan murid enam tahun tidak seharusnya memendekkan fasa pendidikan awal kanak-kanak atau menekankan pencapaian akademik semata-mata.
Pendidikan awal ialah proses membentuk emosi, sosial dan sahsiah kanak-kanak, bukan perlumbaan membaca dan mengira,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan pandangan Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad bahawa kanak-kanak berusia enam tahun perlu mendapat peluang sama rata tanpa perlu melalui ujian diagnostik bagi menentukan kelayakan kemasukan sekolah rendah.
Katanya, sebarang ujian yang membezakan murid layak atau tidak layak memasuki sekolah adalah dikatakan tidak wajar kerana memasuki tahun satu merupakan prinsip dasar pendidikan awam.
Sementara itu, Penolong Profesor Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UMT), Cawangan Sabah, Dr. Norazly Nordin berkata, persoalan utama dasar tersebut bukan soal umur, sebaliknya tahap kesediaan sistem pendidikan menerima kanak-kanak enam tahun secarssa berhemah.
Katanya, bilik darjah, saiz kelas, pendekatan pedagogi dan kurikulum perlu diubah suai agar selari dengan keperluan perkembangan kanak-kanak kecil.
“Pembelajaran pada usia enam tahun mesti kekal menyeronokkan kerana bermain adalah kaedah pembelajaran paling berkesan,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasuhan dan Perkembangan Awal Kanak-kanak Berdaftar Malaysia (PPBM), Prof. Norsheila Abdullah berkata, ujian diagnostik bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun hanyalah bertujuan mengenal pasti tahap awal murid bagi membolehkan guru menyediakan sokongan pembelajaran bersesuaian.
“Diagnostik tersebut menilai bahasa, literasi awal, numerasi asas, aspek sosio-emosi serta perkembangan motor halus dan kasar, bukan prestasi akademik kompleks.
“Anak tidak gagal jika belum boleh membaca atau mengira, mereka hanya perlukan sokongan yang sesuai dan di sinilah peranan taska serta tadika sangat penting,”
katanya. – UTUSAN
